Maskot Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Rimau bersama replika tiket Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 .

Putrajaya: Penjualan tiket pembukaan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bagaikan goreng pisang panas dan kini hanya tinggal tujuh peratus saja lagi yang belum dijual ketika temasya dwitahunan itu menyingkap tirai secara rasmi, 19 Ogos ini.

Menjanjikan satu majlis pembukaan yang penuh gemilang dan belum pernah ditonton sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan, tiada pertambahan tiket untuk hari berkenaan.

“Saya dimaklumkan tiket acara perasmian sudah dijual lebih 93 peratus. Sudah banyak kali saya katakan jangan tunggu saat akhir untuk beli tiket bagi mengelakkan pembelian tiket secara haram.

“Apa yang dapat saya janjikan adalah ia akan menjadi satu majlis perasmian yang menakjubkan dan di luar jangkaan, jadi beli tiket sekarang,” katanya.

Zolkpels yang ditemui pada majlis pengumuman beberapa lagi penajaan baru bagi KL2017 membabitkan beberapa penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa berharap, fenomena jerebu tidak mengganggu kelancaran penganjuran.

Bagaimanapun, MASOC sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menghadapi perkara itu.

“Ia bukan perkara baru tapi ia satu fenomena alam. Jika anda masih ingat Sukan Komanwel 1998, ada beberapa atlet terkemuka menarik diri. SUKMA (Sukan Malaysia) 2013 di UPM (Universiti Putra Malaysia) kita hampir untuk batalkan tapi Alhamdulillah, tetap berjalan lancar.

“Berdoalah supaya jerebu tidak akan berlaku dan tidak akan jejaskan penganjuran temasya ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:52 AM