PEMAIN skuad bola sepak Kemboja tiba dengan membawa harapan tinggi bagi menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Devinder Singh
devinder@nst.com.my


KEMBOJA meletakkan sasaran untuk melakukan kejutan ke atas pasukan ternama selaras dengan impian memburu tempat ke separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jurulatihnya Leonardo Vitorino yang dilantik sebagai pengendali pasukan pada Mac lalu sudah pun membawa pasukan senior Kemboja mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Afghanistan manakala skuad Sukan SEA mereka seri 0-0 dengan China selain menundukkan Filipina 1-0 pada kelayakan Kejohanan Bawah-23 AFC, bulan lalu.

“Kami mempamerkan persembahan yang baik ketika menentang Jepun (meskipun tewas 0-2), seri dengan China dan menewaskan Filipina pada pusingan kelayakan, jadi ia adalah persiapan yang bagus.

“Kami datang ke sini untuk mendapatkan pingat. Impian kami tinggi dan sebagai pemain bola sepak, kami perlu bekerja keras untuk menjadi juara.

“Saya tahu kami dalam kumpulan yang kuat tetapi kami mempunyai impian dan kami boleh menjadikan impian itu satu kenyataan jika kami bekerja keras,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Kemboja akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Filipina di Stadium Selayang, esok, dan jika Vitorino mahu sasarannya tercapai, mereka perlu mendapatkan keputusan yang baik ketika menentang Vietnam, Thailand, Timor Leste dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 2:54 PM