TARDY (kiri) mahu anak buah hasil keputusan positif. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Devinder Singh
devinder@nst.com.my


PENGENDALI Singapura Richard Tardy bimbang kempen bola sepak mereka di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mungkin berakhir Rabu depan selepas diundi menentang Myanmar dan tuan rumah, Malaysia pada dua perlawanan terawal Kumpulan A.

Menurutnya, Singapura perlu mendapatkan keputusan yang baik pada dua perlawanan itu untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.

“Tidak ada yang positif atau negatif, kami perlu bermain sebagai satu pasukan.

“Kami perlu mendapatkan keputusan yang bagus daripada dua perlawanan ini untuk layak. Sebanyak 50 peratus anggota skuad ini berusia bawah 20 tahun, jadi ia bukan mudah.

“Banyak tekanan dan juga harapan yang diletakkan pada kami,” katanya merujuk kepada perlawanan menentang Myanmar di Stadium Selayang, esok, dan Malaysia di Stadium Shah Alam, Rabu depan, pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Singapura yang turut akan berhadapan dengan Brunei dan Laos dalam dua perlawanan lain Kumpulan A tidak pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA.

Kali terakhir mereka layak ke final pada 1989 apabila tewas 1-3 kepada Malaysia di Stadium Merdeka.

Skuad bimbingan Tardy tewas kepada pemenang perak Sukan SEA 2015, Myanmar pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 23 tahun AFC di Yangon, bulan lalu dan tunduk 1-3 di tangan Malaysia pada Piala Dubai, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:57 PM