TENGKU Ahmad (kanan) yakin barisan pemain negara mampu bawa pulang pingat emas.
Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my


PENYERANG skuad hoki negara Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menegaskan betapa tiada sebab untuk pasukan kebangsaan tidak memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, peningkatan mendadak prestasi pemain muda menjadikan skuad hoki Malaysia kini berada pada landasan terbaik untuk mencipta kejayaan.

“Memang tiada sebab untuk kita gagal mendapatkan pingat emas. Malah kita menghantar skuad paling kuat. Bagi saya, memang tiada masalah untuk dapatkan emas.

“Kebanyakan pemain sudah matang terutama bila kumpulan pemain sudah jadi besar, kita boleh gunakan siapa saja pemain yang ada untuk dimasukkan dalam skuad.

“Pemain muda dan senior tidak jauh beza dan itu menjadi kelebihan yang ada pada pasukan sekarang. Semua pemain lebih kurang, hanya berbeza umur dan pengalaman,” kata pemain kelahiran Perlis itu.

Ini kali kedua Tengku Ahmad Tajuddin menyertai Sukan SEA selepas di Myanmar pada 2013 yang menyaksikan skuad hoki kebangsaan menyumbang emas buat negara.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan kini memberi lebih fokus kepada memperkemaskan pukulan sudut penalti dalam persiapan terakhir skuad negara.

“Kita juga cuba mempertajamkan kemahiran menjaringkan gol bagi setiap pemain,” katanya.

Acara hoki akan berlangsung pada 21 hingga 29 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:47 PM