LUKAKU (dua dari kanan) jaring dua gol dalam penampilan sulung.
AFP

ROMELU Lukaku menganggap dua golnya pada penampilan sulung buat Manchester United sebagai satu impian menjadi kenyataan apabila penyerang Belgium itu mencetus inspirasi kemenangan 4-0 pasukannya ke atas West Ham, semalam.

Lukaku menyertai United dari Everton dengan rekod perpindahan Britain £75 juta (RM418 juta) ketika cuti rehat musim dan pemain berusia 24 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk membayar harga lumayan itu.

Meluru menyambut hantaran Marcus Rashford pada minit ke-33, rembatan kencang Lukaku terkena tiang gol sebelum melantun masuk untuk meletakkan United di depan pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

Bekas penyerang Chelsea itu meledak sekali lagi pada minit ke-53 menerusi tandukan padu berikutan sepakan percuma Henrikh Mkhitaryan.


MARTIAL (tengah) jaring gol ketiga United.

Anthony Martial dan Paul Pogba menambah dua gol lagi pada lewat perlawanan untuk melonjakkan United ke tangga teratas pada petang penuh mengujakan buat Lukaku.

“Untuk bermain di depan penonton sebegini satu mimpi menjadi nyata tapi apa yang penting tiga mata,” katanya.

“Apabila anda bermain untuk Manchester United, anda perlu melakukan tugas anda dan bagi saya menjaringkan gol.

“Pengurus mahu saya menjadi pemimpin pasukan ini dan mencipta gol sebanyak mungkin. Kami bekerja keras dalam latihan dan ternyata ia berbaloi.

“Peminat mahu menyaksikan bola sepak yang menarik dan kami melakukannya. Mereka pasti gembira hari ini.

“Ia hanya satu permulaan, kami perlu terus bekerja mengikut perancangan pengurus.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 9:27 AM