LIVERPOOL tetap enggan berganjak dengan keputusan mereka.
AFP

LONDON: Liverpool menolak bidaan ketiga Barcelona terhadap perancang utama Philippe Coutinho, menurut sumber kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Media Britain melaporkan bidaan terbaru Barcelona itu bernilai sekitar £114 juta (RM630 juta), jauh meningkat daripada tawaran terdahulu £90 juta (RM497 juta).

Liverpool secara terbuka menyatakan Coutinho tidak akan dijual pada harga apa sekalipun dan berasakan angka yang ditawarkan oleh Barcelona tidak wajar.

Perancang Brazil berusia 25 tahun itu, kini diketepikan kerana kecederaan belakang, sudah menghantar surat permohonan berpindah.

Dia menandatangani kontrak baru lima tahun Januari lalu.

Barcelona memburu Coutinho dan pemain sayap Borussia Dortmund, Ousmane Dembele untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Neymar yang berpindah dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) ke Paris Saint-Germain.

Pengurus Besar Barcelona, Pep Segura berkata kelmarin, perjanjian buat kedua-dua pemain itu “semakin hampir.”

Namun Liverpool enggan berganjak dengan keputusan mereka dan Dembele, 20, digantung oleh Dortmund kerana ponteng latihan dalam usaha mahu berpindah.

Coutinho menyertai Liverpool dari Inter Milan dengan harga £8.5 juta (RM47 juta) pada Januari 2013 dan menjadi tonggak utama dalam skuad kendalian Juergen Klopp, menjaringkan 14 gol dalam semua pertandingan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 7:34 AM