Percikan bunga api mewarnai majlis perasmian Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy SapranDevinder Singh dan Mohd Fitrie Muhamad dan Fardy Bungga
sukan@hmetro.com.my


SUKAN SEA Ke - 29 yang dikenali sebagai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 atau KL2017 dibuka secara rasmi dalam majlis pembukaan gilang gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Upacara perasmian temasya sukan dwi tahunan itu menonjolkan kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan yang menjadi elemen utama pertunjukan.

Ia menerapkan menerapkan empat aspek utama penganjuran Provenance, Similarities in Diversity, Together We Are Stronger, dan a Nation Built on Inclusion.

Upacara bermula dengan persembahan muzik tujuh sekolah dimulakan Sekolah Menengah (SMK) Katolik, SMK Seafield, SMK Kepong, St John’s Institution, Chong Hua Independent, SMK Seri Kembangan dan Chong Hua Jalan Gombak sebelum pertunjukan barisan perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Upacara warna-warni itu menerapkan kebudayaan dan keunikan Malaysia sebagai lambang 32 juta penduduknya.

Seterusnya, maskot rasmi diperkenalkan diikuti perarakan masuk kontinjen negara bertanding membabitkan kira-kira 6,000 orang, termasuk atlet dan pegawai bermula dengan Brunei Darussalam, diikuti Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam.

Ia diakhiri dengan perbarisan masuk barisan kontinjen Malaysia diketuai Chef-De-Mission, Datuk Marina Chin.

Barisan atlet negara yang diketuai tiga pembawa bendera, Azizul Hasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hong (terjun) dan Al Jufferi Jamari (silat) kelihatan segak dan cantik mengenakan persalinan baju kurung pesak dan baju Melayu moden.

Selepas ucapan Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, majlis dilengkapkan dengan pengumuman rasmi pembukaan temasya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ia diteruskan dengan bacaan ikrar diketuai jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa.

Majlis pembukaan dilengkapkan dengan perarakan masuk obor kejohanan jaguh negara, - past, present dan future - diketuai oleh sukan boling diikuti berbasikal, hoki, olahraga, badminton diikuti skuad terjun sebelum obor kejohanan dinyalakan secara rasmi sebagai lambang bermulanya temasya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 10:48 PM