MANE (tengah) meraikan gol tunggal Liverpool bersama rakan sepasukan.
AFP

JUERGEN Klopp memuji ketabahan Liverpool ketika mereka bertindak baik mengatasi Crystal Palace 1-0 di Anfield berikutan penyudah tenang Sadio Mane, malam tadi.

Penyokong Liverpool semakin kecewa semalam apabila anak buah Klopp bergelut untuk memecah masuk benteng Palace.

Bagaimanapun, pemain sayap Senegal, Mane akhirnya menjadi pemisah apabila mengambil kesempatan kesilapan Luka Milivojevic untuk merembat masuk melepasi Wayne Hennessey 17 minit sebelum tamat.

Gol itu mengendurkan tekanan di Anfield ketika Liverpool meraih kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini selepas seri 3-3 di Watford minggu lalu.


MANE (empat dari kanan) jaring gol tunggal Liverpool.

Tidak mengecam kegagalan pasukannya yang kurang menyengat, pengurus Liverpool, Klopp sebaliknya gembira dengan cara pemainnya menangani tugas mereka.

“Ia satu tugas berat. Saya tidak tahu berapa banyak kami memegang bola tapi ia banyak,” katanya.

“Kami mempunyai peluang pada babak pertama tapi perlu lebih bersabar kerana mereka terlalu bertahan. Kami tidak menjaringkan gol tapi kami tidak membenarkan lawan melakukan serangan balas pantas.

“Kami juga bertahan dengan baik dan memegang bola hampir sepanjang masa - terasa seperti 85 peratus pegangan bola. Anda perlu melakukan keputusan tepat dan pada babak pertama kami tidak melakukannya.

“Babak kedua lebih baik dan saya sukakan gol yang kami jaringkan kerana ia bukannya hantaran satu dua terbaik dalam perlawanan ini. Ia gol yang bagus dan kami berhak mendapatnya.”

Cerita sebelum perlawanan itu lebih didominasi spekulasi mengenai masa depan perancang utama dari Brazil, Philippe Coutinho, 25, yang dikehendaki Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 8:07 AM