Pelumba KL2017 ketika sesi latihan rasmi 51 km ujian masa berpasukan di sekita Nilai. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

ACARA berbasikal akan memulakan kempennya esok dengan keseluruhan 20 pingat ditawarkan menerusi acara trek, lebuh raya dan BMX.

Daripada jumlah pingat itu, 13 bagi acara trek manakala lebuh raya (lima) dan BMX (dua), sekali gus menjadikan acara berbasikal antara lubuk setiap negara, termasuk Malaysia meraih seberapa banyak pingat.

Malah tiket bagi acara trek membabitkan acara omnium, strach, keirin, ujian masa, kejar-mengejar berpasukan dan pecut yang berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, habis dijual sejak dua minggu lalu.

Sudah pasti perhatian umum tertumpu kepada Juara Keirin Dunia 2017 Azizul Hasni Awang meraih pingat emas dalam acara trek iaitu keirin dan pecut, Fatehah Mustapa (Pecut, 500 meter ujian masa, keirin dan pecut berpasukan), Farina Shawati Mohd Adnan (keirin, pecut berpasukan dan pecut).

Sasaran pingat emas juga disandarkan kepada pelumba elit wanita Ju Pha Som Net bagi acara lebuh raya iaitu kriterium dan lepas beramai-ramai individual serta acara trek iaitu omnium.

Ju Pha pernah menghadiahkan pingat gangsa kepada pasukan negara menerusi acara Kriterium di Sukan Sea Singapura, dua tahun lalu.

Nurul Suhada Zainal yang turut menghadiahkan gangsa kepada kem negara di Singapura menerusi acara lepas beramai-ramai juga antara atlet yang disandarkan pingat.

Pemenang pingat emas negara bagi acara kriterium dan lepas beramai-ramai lelaki dua tahun lalu, Mohd Harrif Saleh dan pemenang pingat gangsa acara lepas beramai-ramai lelaki, Anuar Manan, antara yang turut disandarkan harapan meraih pingat dalam acara masing-masing.

Acara berbasikal akan memulakan kempennya esok menerusi acara akhir Kriterium Wanita dan Lelaki di Dataran Putrajaya. Dua pingat ditawarkan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 6:19 PM