Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


RATA-RATA atlet dan penyokong Indonesia yang berada di Kuala Lumpur menganggap isu bendera republik itu yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata majlis pembukaan Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, sudah selesai.

Harian Metro yang bertemu dengan beberapa atlet negara jiran itu, mendapati kebanyakan mereka mengharapkan perkara itu tidak berlarutan dan sedia memaafkan kesilapan tidak disengajakan itu.

Peninju Indonesia, Richard Oscar Laim, 25, berkata ramai atlet Indonesia tidak terlalu memikirkan perkara itu dan lebih menumpukan kepada sukan dipertandingkan.

"Kami tidak marah dan mengetahui kesilapan itu tidak disengajakan. Pada saya, ia cuma masalah teknikal dan sama seperti kita yang pasti pernah melakukan khilaf.

“Saya mengharapkan rakyat Indonesia maafkan perkara itu dan tidak perlu diperbesarkan seperti diminta Presiden Indonesia, Joko Widodo," katanya yang ditemui hari ini.

Menurut peninju yang yakin meraih emas bagi acara tinju Middle 75 kilogram, negara Indonesia dan Malaysia adalah serumpun yang perlu saling bersatu padu.

Pemanah Indonesia, Hendra Purnama, 20, berkata dia mendapat tahu perkara itu apabila isu berkenaan tular di beberapa halaman kumpulan Facebook terkenal negaranya. 

"Pada mulanya saya kaget (terkejut) namun menyerahkan kepada pemerintah untuk mengaturkan penyelesaian. Alhamdulillah, mereka juga sudah saling bermaafan.

"Mungkin selepas ini kita perlu berhati-hati kerana penganjuran ini besar dan tidak wajar ada kesilapan yang boleh menyentuh sensitiviti pelawat," katanya.

Atlet muda ping pong Indonesia, Habibi Wahid, 19, berkata insiden bendera terbalik itu menyebabkan ramai rakyat Indonesia terguris hati kerana baru sahaja menyambut hari kemerdekaan pada 17 Ogos lalu.

Namun secara peribadi, dia menganggap ia kesalahan kecil dan bukan masalah besar yang perlu dipertikaikan sehingga menjejaskan hubungan kedua-dua pihak.

"Menteri kedua-dua negara juga sudah bertemu dan saling bermaafan. Jadi tidak perlu diperbesarkan lagi isu ini dan harap apabila pulang nanti perkara ini sudah selesai," katanya yang pertama kali menyertai acara memanah di Sukan SEA.

Sementara itu, penyokong negara, Raja Aisha Hidatul Raja Azman, 18, berkata, insiden itu tidak perlu diperbesarkan kerana Malaysia sudah berusaha sehabis baik untuk memastikan penganjuran kali ini berjalan lancar.

"Kita dengan Indonesia sudah dianggap serumpun. Jadi kita sepatutnya bersatu padu dan tidak bertelagah dengan perkara yang boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

"Bagaimanapun kita harap isu ini menjadi satu pengajaran buat negara supaya kesilapan tidak berlaku lagi pada penganjuran akan datang malah buat dengan yang lebih baik," katanya.

Semalam, kedudukan warna bendera Indonesia dikesan dicetak terbalik pada buku cenderamata Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menerusi kenyataan malam tadi, sudah menyatakan permohonan maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, hari ini, untuk sekali lagi mohon maaf bagi pihak MASOC.

Khairy sebelum itu sudah meminta maaf atas kesilapan berkenaan bagi menjawab teguran pedas Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 11:00 PM
Penyokong Indonesia memberi sokongan kepada atlet tunju negara mereka, hari ini. - Foto SAIFUL ISKANDAR