ICARDI (tengah) ledak dua gol untuk Inter.
AFP

MILAN: Kapten Inter Milan, Mauro Icardi meledak dua gol manakala pemain Ivory Coast, Franck Kessie mencetak gol sulung buat AC Milan ketika kelab gergasi utara itu menyamai permulaan Juventus pada musim baru Serie A dengan kemenangan 3-0, awal pagi tadi.

Dibayangi kehebatan Juventus bagi enam musim terakhir, kedua-dua Inter dan Milan berharap mampu bangkit dan mencabar kejuaraan scudetto dalam laluan meraih satu daripada empat tempat ke Liga Juara-Juara.

Kedua-dua kelab gergasi San Siro itu tidak mengecewakan dalam laluan menyertai Juventus, Napoli, Chievo, Sampdoria dan AS Roma yang turut meraih tiga mata selepas kemenangan pada hari pembukaan.

Icardi dikecam kerana kempen hambar Inter musim lalu yang menyaksikan mereka menghuni tangga ketujuh dan gagal beraksi di Eropah.


KESSIE (dua dari kanan) dihalang pertahanan Crotone Ardian Cuculi.

Namun di San Siro yang dipenuhi penonton dan di bawah kendalian jurulatih baru Inter, Luciano Spalletti, pemain kebangsaan Argentina itu membalas kepercayaan dengan dua gol babak pertama termasuk sepakan penalti pada minit keenam selepas dia dijatuhkan pertahanan Fiorentina, Davide Astori di hujung kotak penalti.

Icardi melebarkan kelebihan Inter apabila dia menanduk masuk melepasi penjaga gol Marco Sportiello selepas 15 minit ketika tuan rumah mendominasi aksi.

“Mereka memberikan segala-galanya dan benar-benar tampil untuk memenangi perlawanan ini,” ujar Spalletti.

“Malah apabila kami tiba bersama bas pasukan, stadium sudah penuh. Ini satu petanda kuat (daripada penyokong) dan pemain perlu membalasnya.”

AC Milan turut menikmati kemenangan 3-0 ke atas Crotone yang terselamat daripada turun liga musim lalu.

Federico Ceccherini dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan penyerang muda Milan, Patrick Cutrone dan Kessie, yang diikat dari Atalanta pada musim panas kali ini, tampil menjaringkan gol menerusi sepakan penalti bagi gol sulungnya buat Rossoneri pada minit keenam.

Cutrone, yang dikaitkan dengan perpindahan secara pinjaman ke Crotone, menggandakan pendahuluan pelawat pada minit ke-18 menerusi tandukan kencang hasil hantaran lintang Suso sebelum mengumpan kepada Suso menyumbat gol ketiga pada minit ke-23.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 8:12 AM