Ju Pha memenangi pingat Perak pada perlumbaan basikal lebuhraya sejauh 101.5 kilometer Sukan Sea KL2017 di Dataran Nilai. -Foto HAZREEN MOHAMAD


HASRAT Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara lumba basikal Mass Start atau lepas beramai-ramai wanita 101.5 kilometer Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak kesampaian apabila atlet negara Ju Pha Som Net sekali lagi menang perak selepas tewas di tangan pelumba Vietnam Nguyen Thi That.

Biarpun Ju Pha menamatkan perlumbaan dengan catatan masa sama dengan Thi That, 3 jam 14 minit 16 saat, namun pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura itu dikira sebagai juara kerana tayar basikalnya terlebih dahulu mencecah garisan penamat.

Pingat gangsa dimenangi pelumba Indonesia Ayustina Delia Priatna manakala seorang lagi pelumba Malaysia Nurul Suhada Zainal yang juga pemenang gangsa Sukan SEA 2015 mendapat tempat ketujuh.

Menurut Ju Pha, dia tetap berpuas hati dan gembira dengan kejayaan menang perak dalam perlumbaan itu biarpun mempunyai sasaran peribadi meraih emas.


AKSI Ju Pha (kanan) bersaing dengan That Nguyen (kiri) menuju ke garisan penamat. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Katanya, dia sudah membuat yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila dihimpit peserta lain dan hampir jatuh ketika cuba mengejar peserta Vietnam berkenaan di satu kilometer terakhir sebelum garisan penamat.

“Sebenarnya saya mungkin dapat menang emas acara Mass Start jika mempunyai cukup masa berlatih dan membuat persiapan rapi.

“Bagaimanapun saya hanya mempunyai masa tidak sampai tiga bulan untuk berlatih acara ini kerana baharu saja tamat latihan rekrut polis, Mei lalu. Jadi saya tidak cukup masa untuk menjalani latihan secara intensif bagi persiapan Sukan SEA.

“Walaupun menang dua perak dalam perlumbaan kriterium dan Mass Start, saya memang wajib menang dalam acara Omnium, Ahad ini,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menang emas acara Mass Start ialah di Sukan SEA Manila 2005 menerusi Nor Azian Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 3:18 PM