COUTINHO (tengah) dipanggil untuk beraksi bersama skuad Brazil. - Foto Agensi
AFP

LONDON: Pemain sasaran Barcelona, Philippe Coutinho masih tidak boleh beraksi buat Liverpool kerana kecederaan belakang, menurut pengurus Juergen Klopp, semalam.

Perancang utama Brazil berusia 25 tahun itu menghantar surat permohonan berpindah menjelang musim baru dan tiga bidaan Barcelona terhadapnya ditolak.

Di sebalik status kecederaannya, dia dipanggil oleh Brazil bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Ecuador dan Colombia.

“Dia berada dalam senarai kecederaan kami, ia tidak berubah,” kata Klopp semalam.

“Saya tidak berhubung setakat ini dengan FA Brazil, tapi peraturannya jika mereka mahu melihatnya dan memeriksa keadaannya maka dia harus ke sana. Saya tidak tahu, tapi saya fikir ia akan berlaku. Tiada masalah.”

Liverpool menanti kunjungan pencabar kejuaraan Liga Perdana, Arsenal ke Anfield malam esok, sesudah melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan 4-2 ke atas Hoffenheim, awal pagi Khamis lalu.

Pasukan Klopp diundi bertemu Sevilla, Spartak Moscow dan kelab Slovenia, Maribor pada majlis undian kumpulan kelmarin.

Klopp mempunyai kurang seminggu untuk menambah pemain dalam skuadnya sebelum jendela perpindahan ditutup dan setakat ini usaha membeli pertahanan tengah Southampton, Virgil van Dijk dan pemain tengah RB Leipzig, Naby Keita tidak menjadi kenyataan.

Namun selepas membeli pemain sayap Mesir, Mohamed Salah, pertahanan kiri Scotland, Andy Robertson dan penyerang muda Dominic Solanke, beliau berkata sudah berpuas hati dengan skuadnya.

“Hingga 31 Ogos ini, banyak perkara boleh berlaku, keluar dan masuk. Jika pasaran perpindahan ditutup esok, saya gembira dengannya,” ujar Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:20 AM