LIN Dan melangkah ke final selepas benam cabaran pilihan utama kejohanan. -Foto EPA
LIN Dan melangkah ke final selepas benam cabaran pilihan utama kejohanan. -Foto EPA
AFP

GLASGOW: Lin Dan kekal dalam laluan merebut kejuaraan perseorangan lelaki dengan rekod kali keenam pada Kejohanan Badminton Dunia selepas mengatasi pilihan utama Son Wan Ho di Glasgow, malam tadi.

Lin Dan, yang menang kejuaraan terakhir pada 2013, menewaskan Wan Ho 21-17, 21-14 untuk layak ke final dunia kali ketujuh.

Dalam perlawanan penentuan pingat emas malam ini, bintang China itu menentang pemain muda Denmark, Viktor Axelsen.

Lin Dan, 33, mungkin berada di penghujung kariernya namun dia mudah mengatasi pemain nombor satu dunia berusia 29 tahun dari Korea Selatan itu.

Lima mata berturut-turut dikutip ketika ketinggalan 15-16 membantunya memenangi set pertama dan dia menggunakan kelebihan pada pertengahan set kedua untuk meloloskan diri.

“Setiap orang bercakap mengenai usia saya, tapi saya sudah buktikan boleh bermain di peringkat tertinggi,” katanya.

“Acara perseorangan lelaki amat sukar ketika ini, ia laluan yang sukar untuk ke final.

“Saya sering berasa gementar sebelum perlawanan besar tapi saya amat gembira kerana mempunyai sokongan hebat di sini.”

Pada satu lagi separuh akhir, Axelsen membalas dendam ke atas juara bertahan Chen Long dari China. Pilihan ketiga itu menang 21-9, 21-10 dalam tempoh 39 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 1:20 PM