Pemenang pingat emas acara ‘show jumping’ ekuestrian Colin Syquia (tengah) bersama penunggang negara Sharmini Christina (perak) dan Qabil Ambak (kanan) Pusat Ekuestrian 3Q Rawang, hari ini. - Foto MAHZIR MAT ISA
BERNAMA

ATLET Filipina, Syquia Colin John Collins menyekat hasrat skuad negara menyapu bersih empat emas acara ekuestrian apabila merangkul emas acara show jumping individu di Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang, hari ini.

Syquia Colin, 47, yang menunggang kuda ‘Adventure E’, mengecewakan hasrat skuad negara menutup tirai saingan acara ekuestrian dengan penuh bergaya apabila mempamerkan persembahan paling cemerlang dengan catatan masa terpantas 37.63 saat.

Dalam saingan ‘jump-off’, peserta Filipina itu mengatasi penunggang harapan negara, R Sharmini Christina yang juga juara bertahan di Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Sharimini Christina, yang menunggang ‘Arcado L’, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas merakamkan masa 41.30s tanpa penalti manakala atlet berpengalaman negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil merangkul gangsa.

Mohd Qabil Ambak, yang turut merangkul pingat perak dalam kategori dressage individu, menggunakan kuda ‘3Q Qalisya’ untuk mencatatkan masa 41.66s.

Dalam penentuan ‘jump-off’ melibatkan lima peserta, wakil Brunei, Pengiran Mohd Nasir menduduki tempat keempat diikuti wakil Singapura, Catherine Chew.

Secara keseluruhan, skuad negara menyumbang tiga daripada empat pingat emas yang ditawarkan menerusi Quzandria Nur Mahamad Fathil dalam acara dressage individu, dressage berpasukan dan show jumping berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 5:18 PM