Skip this ad x
ROBIAL (tengah) meraikan emas kesepuluh selepas mengalahkan pesilat Vietnam, Le Si Kien di Stadium Juara, Kuala Lumpur.
Mohd Fitrie Mohamad dan Mohamad Zulfaizan Mansor


SKUAD negara menutup tirai acara silat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan penuh cemerlang apabila meraih 10 pingat emas keseluruhan.

Tambahan tujuh pingat emas pada hari terakhir sukan itu di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini menyaksikan skuad negara mengatasi sasaran awal lapan emas yang ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Mohd Fauzi Khalid melengkapkan emas kelapan keseluruhan skuad silat selepas mengatasi wakil Vietnam, Tran Dinh Nam 4-1 di final acara tanding kelas F.

Lebih manis, kurang lima minit selepas itu, juara dunia Siti Rahmah Mohamed Nasir memastikan emas kesembilan skuad silat sekali gus melepasi sasaran PESAKA.

Rahmah dilihat tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pesilat Indonesia, Pipiet Kamelia 5-0 pada final kelas E wanita.

Terdahulu, Mohd Al Jufferi Jamari yang juga juara dunia menghadiahkan emas ketujuh apabila diisytiharkan sebagai pemenang kelas E lelaki selepas lawannya, Pham Tuan Anh dari Vietnam menarik diri pada pusingan kedua kerana kecederaan.

Seorang lagi juara dunia, Razak Ghazali juga diisytiharkan sebagai pemenang pingat emas oleh wasit pada pusingan kedua final kelas D selepas atlet Thailand, Pornteb Poolkaew didapati melakukan kesalahan berat.

Poolkaew dilihat menyepak bahagian rusuk kanan Razak ketika wakil Malaysia itu sudah pun mengunci kakinya menerusi sepakan gunting.

Akibat daripada insiden itu, Razak mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan pertandingan yang menyaksikan dia terpaksa diusung keluar gelanggang.

Muhammad Faizul Nasir yang beraksi dalam kelas B lelaki, Siti Shazwana Ajak (kelas D wanita), Muhammad Robial Sobri (kelas H lelaki) turut menyumbang emas selepas mengungguli kategori masing-masing.

Malaysia turut meraih perak menerusi Mohd Khaizul Yaacob (kelas J lelaki) yang tewas 0-5 kepada wakil Singapura, Sheik Farhan Sheik Alauddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 7:59 PM