MARTINA-Murray (dari kanan) dan Hao Ching-Michael gembira bersama trofi masing-masing.
AFP

NEW YORK: Pilihan utama Jamie Murray dan Martina Hingis memenangi kejuaraan beregu campuran Grand Slam kedua berturut-turut awal pagi tadi menerusi kemenangan 6-1, 4-6, 10-8 ke atas Michael Venus dan Chan Hao Ching.

Murray dan Hingis menjuarai Wimbledon Julai lalu dan kejayaan mereka pada final Terbuka AS di Flushing Meadows awal pagi tadi bermakna rekod mereka dalam beregu campuran bersih 10-0.


MURRAY (kiri) membalas pukulan lawan.

“Dengan super-tiebreak, kami tahu bagaimana untuk bermain,” kata Martina, yang meraikan ulang tahun ke-20 memenangi kejuaraan perseorangan di New York ketika berusia 16 tahun.

“Kami beraksi hebat dalam set pertama, set kedua agak kelam-kabut sedikit tapi dalam super-tiebreak, kami sedar boleh meningkatkan permainan dan beraksi dengan hebat.”

Martina menang kejuaraan beregu campuran Terbuka AS bersama pemain India, Leander Paes pada 2015 manakala Murray pernah menang beregu campuran Wimbledon bersama Jelena Jankovic 10 tahun lalu.

Martina boleh menokok kejuaraan kedua awal pagi esok apabila dia bergandingan dengan Chan Yung Jan dalam final beregu wanita menentang Lucie Hradecka dan Katerina Siniakova.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 10:01 AM