KANTE (tengah) mengekang pemain Leicester, Matty James (kiri).
AFP

LEICESTER, England: Pengurus Chelsea, Antonio Conte memberi amaran kepada seluruh warga Liga Perdana Inggeris bahawa pemenang dua anugerah pemain terbaik tahunan N’Golo Kante akan tampil lebih berbisa.

Pemain tengah Perancis itu menang anugerah PFA dan Persatuan Penulis Bolasepak musim lalu selepas persembahannya mencetus inspirasi kejayaan Chelsea menjulang kejuaraan.

Ia kejuaraan keduanya dalam dua musim di England selepas dia memainkan peranan penting bagi kejayaan Leicester setahun sebelumnya.

Namun Kante tidak dikenali dengan keberaniannya menjaringkan gol sejak tiba di England.

Jaringannya di Stadium King Power - Alvaro Morata menyumbat satu lagi gol Chelsea dan Jamie Vardy meledak satu gol buat juara 2016 itu menerusi sepakan penalti - adalah gol ketiganya sejak dia menyertai Leicester pada 2015.


Ia mencipta kemenangan ketiga berturut-turut Chelsea ketika juara bertahan itu bangkit daripada kekalahan pada hari pembukaan di tangan Burnley.

“Sudah tentu ia hari yang bagus buat kami begitu juga Alvaro Morata,” kata Conte.

“Sering kali bagus buat seorang penyerang untuk menyumbat gol. Bagi kami sebagai satu pasukan penting untuk melihat kami meningkat tapi jika Morata menjaringkan gol saya juga gembira melihatnya.

“N’Golo Kante bermain dengan mengagumkan tapi kami sudah biasa melihatnya kerana dia seorang pemain fantastik.

“Dia banyak melakukan larian baik dan hantaran berkualiti dan kini kualiti tindakan penyudahnya.

“Amat penting melihat pemain ini meningkat selangkah demi selangkah dan N’Golo seorang pemain ternama.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 1:29 PM