MOHAMAD Madani mencuba Karting Slalom di litar khas MAEPS. FOTO RAZLAN SALLEH
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


BUAT pertama kali, pertandingan Karting Slalom akan diperkenalkan kepada peminat sukan automotif tempatan sempena Malaysia Autoshow 2017, November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, pertandingan seperti ini (Karting Slalom)sentiasa mendapat sambutan di luar negara kerana boleh disertai semua golongan termasuk kanak-kanak dan wanita.

"Pertandingan ini bukan bersifat perlumbaan yang mementingkan kelajuan, sebaliknya lebih kepada skil dan kecekapan individu mengendalikan jentera mengikut laluan kon disediakan.

"Malah, pertandingan ini juga dibuka kepada kanak-kanak bermula usia lapan tahun," katanya ketika sidang media Pengenalan Karting Slalom di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Menurut Madani, pertandingan itu diadakan bertujuan mendidik pengguna mengenai aspek keselamatan di jalan raya sejak dari kecil selain mengasah bakat dalam arena permotoran.

"Bagi kanak-kanak yang berpotensi, Karting Slalom adalah langkah pertama untuk bergelar pelumba Formula Satu (F1)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 1:57 PM