Adam beraksi cemerlang pada KL2017 bersama kapten, Adib Zainudin. FOTO OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


“KALAU dapat restu ibu bapa, baru saya akan fikirkan secara serius tawaran kelab luar.”

Itu kata pertahanan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Adam Nor Azlin yang sedia mempertimbangkan tawaran beraksi di luar negara - itu pun jika dirinya mendapat restu kedua orang tuanya.

Dia yang beraksi cemerlang ketika membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA KL2017 bulan lalu dikatakan antara pemain buruan beberapa kelab di Liga 1 Thailand untuk mengisi kuota selaku pemain import dari rantau ini.

“Jika benar ada tawaran dari kelab luar, perkara pertama yang perlu adalah mendapatkan persetujuan ibu bapa dulu.

“Apa-apa hal saya mesti rujuk mereka (keluarga) kerana bagi saya restu ibu bapa juga penting untuk saya ke mana-mana. Jika tidak, mungkin saya terpaksa lupakan dulu dan fokus dengan pasukan sekarang,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Menerusi laporan akhbar ini, sekurang-kurangnya enam pemain skuad B-22 diintai kelab Thailand selepas mereka mempamer aksi memberangsangkan pada temasya dwitahunan bulan lalu.

Selain Adam kini beraksi bersama Selangor, pemain lain ialah N Thanabalan (FELCRA FC), Mohd Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Muhammad Adib Zainudin (FELCRA FC) dan Muhd Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang).

“Setakat ini belum ada tawaran, tapi saya ada dengar khabar angin melalui media. Kalau betul sepatutnya mereka menghubungi majikan saya (Selangor) atau saya sendiri tapi setakat ini tak ada apa-apa.

“Saya tak letakkan harapan tinggi namun jika ada saya mahu beraksi dengan pasukan yang dapat memberikan saya peluang beraksi secara kerap agar prestasi dapat dikekalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 8:45 PM