BALE (kiri) jaring gol kemenangan Real ketika menentang Sociedad. -Foto EPA
AFP

MADRID: Gareth Bale menempelak pengkritiknya dengan bergaya menerusi penyudah menakjubkan ketika Real Madrid kembali menemui sentuhan kemenangan selepas mengatasi Real Sociedad 3-1 di laman lawan, awal pagi tadi.

Borja Mayoral memulakan malam cemerlang buat Real dengan gol gulungnya bersama Madrid sebelum pemain Sociedad, Kevin Rodrigues menjaringkan dua gol termasuk satu gol sendiri untuk membantu pelawat mendahului 2-1 ketika rehat.

Bale memastikan tiga mata apabila dia meluru melepasi Rodrigues dan menyungkit bola melepasi penjaga gol Geronimo Rulli bagi gol keduanya musim ini selepas sejam.

Kemenangan itu melonjakkan juara Eropah itu ke tangga keempat dan empat mata di belakang Barcelona.

Bale dikritik hebat media Sepanyol dan penyokong Madrid berikutan persembahan hambarnya ketika ketiadaan Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan baru-baru ini dengan Real mencicirkan mata di laman sendiri menentang Valencia dan Levante.

MAYORAL (kiri) pamer aksi mantap pada aksi pertama bersama Real. -Foto AFP

“Hebat jika sering menjaringkan gol, tapi paling penting adalah meraih tiga mata buat pasukan, kembali ke landasan baik dan kembali mencatat kemenangan,” kata Bale.

“Saya hanya perlu bersabar dan terus bekerja keras dan itulah saja yang boleh saya lakukan.

“Saya tidak boleh mengawal apa yang berlaku, saya hanya boleh mengawal bagaimana saya bermain di tengah padang.

“Anda melalui turun naik dalam karier dan dari situlah anda bangkit.”

Tanpa Ronaldo yang melengkapkan penggantungan lima perlawanan dan Karim Benzema yang cedera, jurulatih Zinedine Zidane membuat keputusan mengejut menurunkan Mayoral yang berusia 20 tahun di bahagian serangan.

Namun kepercayaan pengendali Perancis itu berbalas dalam tempoh 20 minit apabila Mayoral menyudahkan satu bola muntah menerusi penamat bergaya dari jarak dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:09 AM