DEMBELE terpaksa menggunakan kerusi roda ketika di lapangan terbang Barcelona. -Foto Agensi
AFP

BARCELONA: Pemain Barcelona yang dibeli dengan rekod 105 juta euro (RM526 juta) Ousmane Dembele akan menjalani pembedahan di Helsinki hari ini bagi menangani masalah kecederaan hamstring yang menyebabkannya diketepikan hingga empat bulan.

“Dembele berkunjung ke Helsinki, Finland pada pagi Isnin (semalam) yang mana dia akan menjalani pembedahan di paha kiri,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

“Dembele diiringi pakar perubatan pasukan Dr Ricard Pruna. Dembele akan dibedah Selasa ini oleh Dr Sakari Orava.”

Dalam gambar yang disiarkan akhbar sukan harian Sepanyol, Marca, Dembele memerlukan bantuan kerusi roda ketika dia meninggalkan lapangan terbang Barcelona untuk berlepas ke ibu negaa Finland itu.

Pemain kebangsaan Perancis itu baru melakukan tiga penampilan buat Barca sejak berpindah dari Borussia Dortmund bulan lalu dengan bayaran yang boleh meningkat hingga 145 juta euro (RM727 juta) termasuk bonus berdasarkan persembahan.

Bagaimanapun, dia dilihat akan terlepas aksi hingga hujung tahun ini selepas cedera hamstringnya ketika cuba melakukan tolakan menggunakan tumit selepas hanya 29 minit ketika menang 2-1 di Getafe, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 9:51 AM