ANGGOTA bomba bantu membersihkan basikal peserta.
Zatul Iffah Zolkiply & Rosli Ilham

Chukai: Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan 15,000 liter air untuk menyiram lebih 1,000 pelumba Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh, semalam.

Pegawai Bomba Kanan II, Alias Latif berkata, seramai lima anggota terbabit menyiram air kepada pelumba sejurus mereka menamatkan perlumbaan bagi menyejukkan badan.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menggunakan tiga hos bagi menyiram pelumba memandangkan ramai yang menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar.

“Pada mulanya, kami menjangkakan semua pelumba akan mengambil masa selama tiga jam untuk menamatkan perlumbaan sejauh 38 kilometer itu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila selepas sejam, pelumba mula tiba ke garisan penamat dan keadaan itu menyebabkan kami kelam kabut mengambil hos untuk menyiram mereka,” katanya.

Alias berkata, pihaknya pernah bertugas dalam beberapa perlumbaan basikal sebelum ini tetapi HMMTB adalah penganjuran yang mendapat penyertaan paling ramai dan berlangsung penuh meriah.

“Saya bangga dengan Harian Metro yang dapat menganjurkan kejohanan basikal seperti ini dan kami juga gembira dipanggil membantu sekali gus dapat memeriahkan perlumbaan ini,” katanya.

Menurutnya, sukan berbasikal seperti itu wajar dianjurkan lagi oleh Harian Metro memandangkan sambutan amat menggalakkan daripada peserta dalam dan luar negara.

“Saya lihat hadiah yang ditawarkan juga lumayan termasuk hadiah cabutan bertuah keseluruhan yang bernilai RM20,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:10 AM