SANDHU puas menjulang trofi  Jelajah Asia. FOTO/AFP
SANDHU puas menjulang trofi Jelajah Asia. FOTO/AFP
AFP

TAIPEI: Pemain India, Ajeetesh Sandhu merakam dua bawah par 70 untuk merangkul kejuaraan sulung dalam Jelajah Asia pada Kejohanan TPC Yeangder di Taiwan, hari ini.

Sandhu mengatasi pemain Amerika Syarikat, Johannes Veerman untuk merebut kejuaraan itu dengan tiga birdie dan satu bogey sekali gus menamatkan kempen dengan 12 bawah par 276 keseluruhan di lapangan Linkou International GCC.

“Saya masih menggigil dengan pukulan putt terakhir saya tapi kini apabila memikirkan mengenainya, ia jelas menakjubkan,” kata Sandhu.

“Saya bangga dengan diri sendiri kerana mampu fokus terhadap permainan sendiri. Saya hanya cuba membuat pukulan berikutnya sebaik mungkin dan saya menang.”

Dia muncul pemain ke-10 muncul pemenang kali pertama dalam Jelajah Asia tahun ini.

Veerman hampir memaksa penentuan play-off apabila percubaan eagle pada lubang ke-18 terkena pin namun berakhir sebagai naib juara buat kali kedua dalam kariernya di Jelajah Asia.

Bintang tempatan Lu Wei Chih, yang kembali berikutan pembedahan otak pada 2012, mencatat 72 untuk berakhir di tangga ketiga selepas membenam empat birdie dan empat bogey.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 6:54 PM