YOKE Meng harap anak buahnya mampu pamer prestasi terbaik di final.
Helmi Talkah


MALAYSIA mengesahkan tempat ke final berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi separuh akhir di Yogyakarta, Indonesia, sebentar tadi.

Skuad remaja negara akan berdepan juara 11 kali yang juga juara bertahan, China di pentas final, esok.

China menepati ramalan mara ke final selepas mengetepikan cabaran Jepun 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng mengakui atas kertas kelebihan memihak kepada China tetapi percaya anak buahnya mampu memberikan aksi terbaik bagi mencatat kemenangan.

“Sudah mesti China pasukan yang kuat tetapi kita akan beri tentangan. Yang penting kita perlu menang dalam dua acara perseorangan dan mencuri satu mata daripada acara beregu.”


NORZA bangga dengan pencapaian pemain muda. FOTO/KHAIRUL AZHAR AHMAD

“Jadi, siapa yang sepatutnya diletakkan harapan untuk menang, kita perlu menang. Kalau tidak, memang sukar untuk kita menjadi juara. Pemain perlu tunjukkan prestasi terbaik mereka,” kata Yoke Meng ketika dihubungi di Yogyakarta.

Pada aksi menentang Korea, tiga mata Malaysia diraih menerusi gandingan beregu campuran, Ng Eng Cheong-Tan Sueh Jeou, Leong Jun Hao (perseorangan lelaki) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bangga dengan pencapaian pemain muda negara dan berharap mereka mampu melakar kejutan untuk menumbangkan China.

“Semua pemain negara menewaskan lawan mereka secara straight set. Ini membuktikan program pembangunan di BAM bertaraf dunia. Saya harap kita boleh kekalkan rentak cemerlang ini sekali gus merampas kejuaraan dari China,” katanya.

Kali terakhir Malaysia muncul juara pada 2011 di Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:39 PM