CLEVERLEY (tengah) meraikan jaringan kemenangannya ke atas Arsenal. -Foto AFP
AFP

WATFORD: Arsene Wenger mendakwa Arsenal sebagai mangsa ‘skandal’ penalti ketika pasukannya tumbang mengejut 2-1 kepada Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Skuad bimbingan pengendali dari Perancis itu mendahului pada babak pertama menerusi Per Mertesacker namun pengadil, Neil Swarbrick memutuskan terjahan pertahanan, Hector Bellerin terhadap Richarlison layak memperoleh penalti.

Ulangan rakaman video mendapati hanya wujud sentuhan yang sedikit terhadap Richarlison dengan penalti disempurnakan Troy Deeney.

Bekas pemain Manchester United, Tom Cleverley kemudian meledak gol kemenangan Watford pada masa kecederaan babak kedua untuk memberikan Arsenal kekalahan pertama dalam lapan perlawanan di semua kejohanan.

Wenger selepas permainan mengakui berang dengan penalti yang dikenakan terhadap pasukannya.

“Ia adalah keputusan yang ada skandal, tetapi apa yang boleh kami lakukan? Tiada apa,” kata Wenger. “Kamu hanya boleh bercakap dan bercakap namun pada akhirnya itulah jumlah jaringannya.

“Kami memperoleh pelbagai situasi apabila kami boleh menjaringkan gol pada babak kedua tetapi tidak melakukannya.

“Selepas itu, kami tidak bertuah kerana keputusan terhadap penalti adalah tidak masuk akal. Kemudian kami panik sedikit pada saat-saat terakhir. Kami tidak dapat mengeluarkan bola.”

Keputusan itu menyaksikan Arsenal ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dan Wenger mengakui pasukannya perlu membayar harga mahal susulan persembahan longlai pada babak kedua.

“Kami menurunkan tahap kami pada babak kedua. Kami hilang kelancaran sekali pun memperoleh dua atau tiga peluang menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 12:30 PM