PEMAIN tengah Leverkusen Lars Bender (kiri) dan Dominik Kohr (kanan) merampas bola daripada pemain  Wolfsburg,  Josuha Guilavogui.  FOTO/AFP
PEMAIN tengah Leverkusen Lars Bender (kiri) dan Dominik Kohr (kanan) merampas bola daripada pemain Wolfsburg, Josuha Guilavogui. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Bayer Leverkusen meneruskan permulaan hambar dalam kempen Bundesliga musim ini apabila mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Wolfsburg, awal pagi tadi.

Leverkusen tampil mendominasi permainan sepanjang sejam perlawanan berlangsung dengan memecah kebuntuan gol pada minit ke-29, menerusi Lars Bender yang juga gol pertamanya sejak April 2016.

Jaringan itu tampak tidak melemahkan Wolfsburg dan selepas beberapa peluang gagal dimanfaatkan, pemain pinjaman dari Liverpool, Divock Origi menanduk bola untuk menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-44.

Lucas Alario kembali meletakkan Leverkusen di depan pada minit ke-61, namun Wolfsburg kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi Jakub Blaszczykowski.

Keputusan seri itu melanjutkan deretan tanpa kemenangan Wolfsburg kepada enam permainan, tetapi jurulatih, Martin Schmidt tetap positif dengan prestasi yang ditampilkan skuad bimbingannya.

“Ia adalah mata yang baik untuk dipungut,” kata Schmidt. “Selepas perlawanan sebelum ini, saya merasakan kami hilang dua mata, tetapi hari ini saya rasa kami menang satu mata.”

Sementara itu, Werder Bremen masih memburu kemenangan pertama musim ini apabila tewas 0-2 di laman sendiri kepada Borussia Moenchengladbach.

Gladbach yang memperoleh banyak peluang menjaringkan gol pada babak pertama membuka tirai jaringan pada minit ke-27, menerusi Lars Stindl.

Bekas pemain Bremen, Jannik Vestergaard kemudian menggandakan kedudukan menerusi tandukan (minit ke-34).

“Kami kecewa seperti peminat kami di sini,” kata pertahanan Breman, Ludwig Augustinsson.

Breman yang dibimbing Alexander Nouri gagal menjaringkan gol sejak 304 minit terakhir dalam aksi Bundesliga, dengan ketumpulan jentera serangan jelas terbukti ketika bertemu Gladbach.

Keputusan itu menyaksikan Breman kekal di tangga kedua tercorot manakala Gladbach mendaki ke kedudukan kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 10:07 AM