SIVASANGARI (kiri) ketika menentang Aifa pada kejohanan skuasy Terbuka Malaysia di Arena Nicol David Bukit Jalil. -Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, S Sivasangari meneruskan rentak kemenangan apabila menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Arena Nicol David, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu menjadi wakil tunggal negara memburu kejuaraan kategori wanita yang kali terakhir menjadi milik pemain negara pada 2013 menerusi Datuk Nicol David.

Sivasangari mara ke separuh akhir apabila mudah menjinakkan rakan senegara, Aifa Azman dengan kemenangan straight set 11-9, 11-4, 11-3.

Kemenangan itu menyaksikan Sivasangari akan menentang juara dunia 2017 dari Jepun, Satomi Watanabe yang sebelum itu menamatkan cabaran seorang lagi wakil negara Rachel Arnold selepas menang 11-6, 11-7, 11-3.

Bagi Sivasangari yang meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur yang lalu, siapa saja lawannya dia tetap akan memberi yang terbaik.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kejuaraan ataupun memikirkan saya sebagai wakil tunggal negara dalam kategori wanita kerana ia akan memberi tekanan.

"Saya hanya mahu fokus apa yang perlu dilakukan dan bermain mengikut cara saya. Itu saja yang mahu saya lakukan.

"Tapi saya tahu menentang Satomi bukan tugas mudah. Saya jangkakan satu pertarungan sengit tapi saya mempunyai kelebihan sebagai pemain tuan rumah," katanya.

Di atas kertas, peluang Sivasangari untuk mara ke perlawanan akhir tampak cerah apabila rekod pertemuan 4-1 memihak kepada pemain berasal dari Kedah itu.

Kali terakhir Sivasangari bertemu Satomi pada Kejohanan Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia bulan lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada pemain negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 6:19 PM