KHAIRIL (kiri) diasak pemain JDT Safiq Rahim pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak menentang JDT di Stadium Perak. -Foto EFFENDY RASHID
Mohamad Zulfaizan Mansor


PEMAIN muda Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri menegaskan pasukannya perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu ini.

Tonggak tengah berusia 22 tahun itu menjelaskan, hanya sedikit kesilapan sahaja boleh mengundang padah kerana JDT pasukan yang terlalu bahaya dan hanya menunggu lawannya melakukan kesilapan.

“Pada separuh akhir pertama sebelum ini, kami melakukan beberapa kesilapan yang menyaksikan kami sekadar seri 1-1 dengan JDT di tempat sendiri.

“Jadi, untuk aksi timbal balik nanti, selain perlu mendapatkan jaringan, kami juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan hingga dibolosi pemain JDT.

“Mereka (JDT) memiliki barisan pemain yang serba lengkap terutama di bahagian serangan yang sememangnya bahaya di hadapan gol dan kami perlu lebih berwaspada,” kata Khairil yang lebih mesra dengan panggilan Beto.

Keputusan seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh, Ahad lalu menyaksikan JDT kini memiliki kelebihan gol tempat lawan dan Perak tiada jalan lain selain perlu menjaringkan gol di Larkin untuk memadam kelebihan skuad kendalian Ulisses Morais.

Berdasarkan rekod, Perak sudah tujuh kali menjuarai Piala Malaysia dan kali terakhir skuad The Bos Gaurus merangkul kejuaraan piala berprestij itu pada tahun 2000.

Selain itu, Beto turut menjelaskan pasukannya akan melakukan persiapan lebih rapi di bawah kendalian Mehmet Durakovic bagi mengharungi aksi getir di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan.

“Sudah pasti kami perlu melakukan persiapan rapi dan bekerja lebih keras, selepas itu kita lihat apa keputusan selepas perlawanan.

“Secara peribadi, saya hanya fokus untuk membantu pasukan mara ke final dan jika diberi kepercayaan oleh jurulatih, saya akan bermain mati-matian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 8:22 PM