HAFIZH dijangka sertai SIC Racing Team untuk saingan Moto2 musim depan. -Foto Agensi
Fadhli Ishak

PETRONAS Raceline Malaysia menamatkan spekulasi mengenai nasib Hafizh Syahrin Abdullah apabila mengesahkan pasukan itu menamatkan kontrak jangka panjang dengan pelumba Moto2 negara berkenaan.

Raceline mengumumkan Hafizh tidak lagi bersama pasukan itu untuk saingan musim depan, namun masih akan beraksi sehingga tamatnya saingan Moto2, musim ini.

Hafizh menjadi pelumba Moto2 sepenuh masa untuk pasukan Raceline sejak 2014, namun sebelum itu, dia sudah lama mewakili pasukan berkenaan dalam pelbagai kejuaraan sejak 2007.

Pemilik Raceline, Barry Leong yang mengenal pasti dan mencungkil bakat Hafizh memberikan peluang kepadanya untuk berlumba dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Petronas AAM Malaysia.

Hafizh kemudiannya melangkah setapak lagi apabila dipilih menyertai Kejuaraan ARRC, Kejuaraan Formula Extreme Australia dan Kejuaraan FIM CEV sebelum terbabit dalam perlumbaan Moto2.

Barry berkata, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kerjasama itu dalam keadaan yang baik.

“Memang menakjubkan apabila melihat bagaimana Hafizh mula bertapak dalam kariernya di Cup Prix dan terus berkembang ke kelas yang berbeza,” kata Barry dalam kenyataan media, hari ini.

“Secara jujurnya, kami berbangga dan berbesar hati dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Hafizh dan kami sama-sama berkembang.

“Saya mengenali dan membantunya sejak berusia 12 tahun, beraksi sebagai pelumba penuh bakat dan kini, meningkat menjadi lelaki dewasa yang matang.

“Bagaimanapun, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan kami perlu menerima hakikatnya,”

Barry bagaimanapun menegaskan, Raceline akan meneruskan tugas untuk membangunkan bakat pelumba muda tempatan ke tahap lebih tinggi.

“Malaysia adalah lubuk bakat pelumba muda yang cuma menunggu masa untuk diketengahkan. Kami akan teruskan usaha ini untuk mencungkil bakat baharu, letakkan sasaran dan memaksimumkan potensi mereka.

Musim ini, Hafizh menikmati perlumbaan yang menakjubkan apabila meraih dua kedudukan podium di Motegi dan Misano.

Dia dijangka akan menyertai SIC Racing Team dalam saingan Moto2 musim depan dan dijangka akan diberi peluang untuk berlumba dalam saingan MotoGP pada musim 2019.

Walaupun Raceline tidak lagi bersama Hafizh, namun Petronas dikatakan akan terus kekal selaku penaja pelumba ini. Ketika ini, SIC Racing Team hanya mengambil bahagian dalam saingan Moto3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 9:42 PM