Syafiq Aznan


HANYA tiga pasukan yang berjaya mengekang Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada meraih kemenangan pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Dua pasukan yang berjaya menafikan skuad Harimau Selatan daripada meraih mata penuh dalam aksi Liga Super adalah Kedah yang berjaya mengikat JDT 1-1, sementara satu lagi perlawanan menyaksikan JDT terpaksa berpuas hati terikat tanpa jaringan menentang Selangor.

Selain itu, Melaka United berjaya mengejutkan JDT apabila mengikat juara Liga Super itu dengan keputusan 1-1 pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia, namun itu tidak menghalang JDT daripada meneruskan kemaraan ke separuh akhir bertemu Perak.

Bagaimanapun, tiga keputusan seri itu tidak mampu mencalar rekod Stadium Stadium Tan Sri Hassan Yunos yang kekal menjadi kubu kuat pasukan itu yang menyaksikan mereka belum lagi merasai kekalahan dalam 22 perlawanan di laman sendiri pada musim ini.

Daripada 22 perlawanan yang diharungi dalam semua pertandingan setakat ini, skuad bimbingan Ulisses Morais itu beraksi sebanyak 11 perlawanan Liga Super di laman sendiri dengan sembilan daripadanya berakhir dengan kemenangan buat pasukan tuan rumah.

Bagi aksi Piala Malaysia, lima perlawanan berlangsung di laman sendiri dengan JDT memenangi empat perlawanan sementara mereka tidak tewas dalam dua aksi di laman sendiri bagi saingan Piala FA dan turut ‘kebal’ dalam empat aksi Piala AFC yang berlangsung di stadium keramat mereka itu.

Dalam perkembangan lain, Stadium Tan Sri Hassan Yunos mencatatkan rekod kehadiran penyokong tertinggi dalam Liga Malaysia untuk tiga musim berturut-turut sejak 2015 hingga 2017.

Musim 2015 menyaksikan seramai 184,198 penyokong menyaksikan aksi pasukan penuh bintang itu, jauh meninggalkan Kelantan yang mencatat kehadiran 108,696 penyokong sementara Pahang di tangga ketiga dengan 107,683 penyokong.

Jumlah kehadiran penyokong JDT terus meningkat pada tahun 2016 yang menyaksikan seramai 191,982 penyokong menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan itu sementara Perak di tangga kedua dengan 121,687 penyokong dan Kedah mencatat kehadiran penyokong ketiga tertinggi dengan 103,421 penyokong.

Dengan hanya baki dua perlawanan musim ini iaitu satu aksi Liga Super dan final Piala Malaysia, JDT terus unggul selepas mencatat kehadiran penyokong seramai 187,557 penyokong dan Kedah di tangga kedua dengan 156,626 penyokong sementara Pahang sekadar mencatat kehadiran 81,205 penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 10:22 PM