PEMAIN Great Britain, Tom Sorsby (dua dari kiri) diasak tiga pemain Jepun, Kota Ozawa (kiri), Atsushi Sugiyama (dua dari kanan) dan Mizuki Ikeda. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


JUARA 2015, Great Britain semakin hampir ke final Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor selepas membenam Jepun 3-1 di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Skuad kendalian Jon Bleby ketinggalan 0-1 kepada Jepun selepas Ramu Watanabe meledak gol pembukaan pada minit ke-30.

Namun, kedudukan itu berubah pada minit ke-44 apabila Great Britain bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Edward Way yang berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Asakan bertali arus Great Britain yang mengidamkan kemenangan bagi mencari kedudukan selesa untuk layak ke final kejohanan edisi ketujuh itu membuahkan hasil pada minit ke-54 selepas Tom Sorsby menjaringkan gol padang.

Hanya lima minit selepas itu, Zachary Wallace melengkapkan kemenangan Great Britain apabila menyumbang gol ketiga.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Australia kembali menghidupkan peluang memburu pentas akhir selepas menewaskan India 4-3.

Skuad kendalian Brian Livermore terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Joel Rintala sebelum India bangkit menyamakan kedudukan pada minit kesembilan juga berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disudahkan Sanjay.

India kemudian berada di depan selepas Dilpreet Singh mencipta gol padang pada minit ke-30 namun giliran skuad Burras pula bangkit menyamakan kedudukan menerusi Coby Green, enam minit kemudian.

Australia kembali mendahului hasil jaringan Jonanthan Bretherton pada minit ke-45, namun India sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Dilpreet pada minit ke-47.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Nathan Ephrausms muncul wira Australia apabila menjaringkan gol kemenangan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

KEDUDUKAN

P M S K J B MT

Great Britain 4 4 0 0 19 3 9

India 4 3 0 1 30 7 9

Australia 4 3 0 1 29 7 9

Malaysia 4 1 1 2 20 4 4

Jepun 4 0 1 3 4 11 1

Amerika Syarikat 4 0 0 4 0 70 0

Keputusan India 3 Australia 4

Malaysia 18 Amerika Syarikat 0

Jepun 1 Great Britain 3

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:14 PM