SEPANG 29 OKTOBER 2017. Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso (kanan) ketika sesi ujian masa MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIRLUQMAN HAKIM ZUBIR
DOVIZIOSO (tengah) muncul juara MotoGP Sepang 2017 Lorenzo (kiri) menduduki tempat kedua dan tempat ketiga milik Zarco (kanan) di Litar Antarabangsa Sepang. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Oleh Khairil S Iswan dan Saiful Affendy Sapran dan Fadhli Ishak


ANDREA Dovizioso mengheret persaingan merebut kejuaraan dunia MotoGP dengan Marc Marquez ke pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, sebentar tadi.

Memulakan aksi di petak ketiga, pelumba Ducati itu mengambil pendekatan lebih tenang dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar basah apabila hanya mula memimpin perlumbaan ketika persaingan berbaki empat pusingan.

Selepas memintas rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo susulan kesilapan di selekoh terakhir, Dovizioso tidak lagi menoleh ke belakang untuk merangkul kemenangan keenamnya musim ini dan merapatkan jurang dengan Marquez kepada 21 mata.

Pelumba Repsol Honda, Marquez yang tampak cuba bangkit di awal perlumbaan terpaksa akur apabila menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di tangga keempat.

Turut menjuarai perlumbaan GP Malaysia tahun lalu, Dovizioso melepasi garisan penamat dengan catatan 44 minit 51.497 saat (s), diikuti rakan sepasukannya, Lorenzo yang ketinggalan 0.743s dan pelumba Perancis, Johann Zarco (MonsterYamaha Tech3) melengkapkan kedudukan podium.

“Memang ada kebimbangan (Lorenzo menang) kerana dia sentiasa memberi tekanan tetapi saya memiliki kelajuan yang baik, jadi saya berjaya mengawalnya,” kata Dovizioso.

“Keadaan suhu juga amat rendah kali ini dan kami banyak bergelut dan kehilangan kawalan di bahagian depan beberapa kali.

“Ia sukar tetapi jentera kami berfungsi dengan baik ketika keadaan litar basah dan ia minggu yang sempurna dan terima kasih kepada pasukan kerana bekerja keras.”

Lorenzo dalam pada itu tidak menghiraukan spekulasi mengenai terdapat arahan daripada pasukan untuk memberikan kemenangan kepada Dovizioso.

“Kamu tahu kami sukar mendapatkan perlumbaan yang konsisten dan saya juga berdepan masalah dengan bahagian depan. Saya mula membrek dengan kuat ketika laluan lurus, jadi itu sebabnya Dovi memintas saya.

“Saya cuba memberi tekanan selepas itu, namun gagal memintasnya tetapi tidak mengapa kerana satu lagi podium bagi saya sudah baik.”

Dani Pedrosa yang memulakan perlumbaan di petak utama menamatkan perlumbaan di tangga kelima diikuti Danilo Petrucci, manakala juara dunia sembilan kali dan legenda Itali, Valentino Rossi berada di tangga ketujuh.

Keputusan di Sepang menyaksikan Marquez terpaksa menunggu sehingga perlumbaan di Valencia, 12 November ini untuk menjuarai gelaran dunia keempatnya dalam kelas MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:13 PM