DANIAL (kiri) dan Dhabitah pada majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2015/2016 di PWTC. -Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Naqib Nor Said


ATLET terjun negara, Nur Dhabitah Sabri menepati ramalan apabila dinobatkan selaku Olahragawati Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (WP) 2015/16 di sini, malam tadi.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 18 tahun itu meraih gelaran berkenaan buat kali pertama selepas berjaya mengetepikan dua pencabar utama iaitu pemain skuasy negara Rachel Arnold dan Tammy Ng (gimrama).

“Saya terharu dengan pemilihan ini, terima kasih kepada pihak juri yang mengiktiraf usaha saya selama ini, ini mungkin rezeki saya," kata Dhabitah yang membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai berjumlah RM 5,000.

Atlet taekwondo negara, Danial Mohd Azri yang melakar beberapa kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pula dipilih sebagai Olahragawan WP.

Turut tidak ketinggalan adalah pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Ziyad Zolkefli yang diberi penghormatan menerima anugerah khas paralimpik lelaki disamping Puteri Nur Diyana Megat Mohd Fadzli (wanita).

Anugerah Olahragawan Harapan menjadi milik bintang muda skuasy negara, Ng Eain Yow dengan atlet angkat berat Nur Atikah Mahamad Sobri pula muncul pemenang Olahragawati Harapan.

Sukan gimnastik juga cemerlang kali ini apabila merangkul dua anugerah iaitu Pasukan Terbaik melalui pasukan gimrama selain menggondol anugerah khas persatuan sukan menerusi Persatuan Gimnastik WPKL.

Sebelas kategori anugerah disampaikan pada majlis yang berlangsung di Putra World Trade Center (PWTC) itu dengan semua pemenang membawa pulang wang tunai, piala iringan dan sijil.

Majlis gilang-gemilang itu dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 11:56 PM