AUBAMEYANG (kanan) mula hilang sentuhan. FOTO/AFP
AFP

DORTMUND, Jerman: Borussia Dortmund hilang status mereka sebagai pendahulu Bundesliga dan Pierre-Emerick Aubameyang sudah tidak menjaringkan gol, namun jurulatih Peter Bosz menafikan dakwaan krisis menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang APOEL Nicosia, awal pagi esok.

“Tidak ada sebarang krisis - Hanover hanya lebih agresif berbanding kami,” tegas Bosz selepas kekalahan 2-4 di Hanover 96 Sabtu lalu menyaksikan Bayern Munich menggantikan Dortmund di puncak Bundesliga.

Bagaimanapun, Dortmund berdepan tugas getir untuk layak ke peringkat kalah mati pertandingan Eropah kerana mereka ketinggalan di belakang Real Madrid dan Tottenham Hotspur dengan enam mata dalam Kumpulan H selepas tiga perlawanan.


BOSZ mahu anak bangkit pada aksi UCL menentang APOEL Nicosia, awal pagi esok. FOTO/AFP

Kekalahan di tangan Tottenham dan Real, sebelum seri di APOEL di Nicosia dua minggu lalu, menyebabkan Dortmund, naib juara Liga Juara-Juara 2013, berdepan kemungkinan tersingkir pada peringkat kumpulan.

Namun Bosz masih menaruh harapan layak ke pusingan 16 terakhir.

“Anda perlu percaya, ia belum berakhir dan perlawanan esok penting buat kami,” ujar pengendali dari Belanda itu.

Bagaimanapun semuanya tidak menjadi di kem Dortmund.

Kemenangan 5-0 pada Piala Jerman di kelab divisyen tiga Magdeburg minggu lalu adalah kemenangan tunggal Dortmund dalam lima aksi terakhir.


BOSZ memberi arahan kepada anak buah. FOTO/AFP

Bagi memburukkan keadaan, Aubameyang, penjaring gol terbanyak Bundesliga musim lalu, kemarau gol dalam tiga aksi terakhir sekalipun menyumbat 15 gol dalam semua pertandingan setakat ini musim ini.

“Apabila Aubameyang atau penyerang secara amnya tidak menjaringkan gol, kritikan akan menyusul dan ia akan diperkatakan,” kata Bosz.

“Tapi apabila dia bekerja keras dan pasukan bermain baik, semuanya bagus.

“Setiap penyerang mempunyai fasa yang mana dia tidak menjaringkan gol dalam satu, dua atau tiga perlawanan dan saya yakin dia akan meledak semula tidak lama lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 9:17 AM