PENYOKONG Johor DT ceria bersama tiket yang berjaya dibeli di kaunter Stadium Larkin. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@bh.com.my


JUALAN tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini berjalan lancar dan teratur sebaik kaunter mula dibuka pada jam 9 pagi tadi.

Tinjauan di perkarangan stadium menyaksikan peminat pasukan Johor DT beratur dalam keadaan teratur tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini selain dikawal beberapa petugas yang berada sekitar kawasan berkenaan.

Selain ramai yang mula hadir memenuhi ruang stadium pagi tadi, ada juga peminat yang sudah ‘berkampung’ di perkarangan stadium sejak dari petang semalam lagi.


SEBAHAGIAN penyokong menunggu giliran untuk membeli tiket. FOTO/HAIRUL ANUAR ABD RAHIM

Seorang peminat, Hamsyah Ismail, 33, berkata dia mula beratur di perkarangan stadium sejak malam tadi dan bermalam bersama beberapa lagi rakannya untuk mendapatkan tiket berkenaan.

“Ini bukan kali pertama kami bermalam di hadapan stadium untuk mendapatkan tiket perlawanan Johor DT, nasib juga malam tadi cuaca baik dan tidak hujan. Apa yang penting hari ini kami dapat membeli tiket akhir Piala Malaysia dan tidak sabar menanti Sabtu ini untuk memberi sokongan pada pasukan Johor DT,” katanya.


PENYOKONG Johor DT ceria bersama tiket yang berjaya dibeli. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN

Sementara itu, seorang lagi peminat, Farizul Hakimi Mohd Kasim, 29, berkata dia yang mula beratur sejak awal pagi tadi tidak menyangka dapat membeli tiket untuk perlawanan akhir itu.

“Saya sampai di sini dan lihat sudah ramai beratur dengan ada yang tidur di atas tikar, mula-mula ada juga rasa tidak dapat tiket kerana kehabisan tetapi syukur akhirnya dapat juga membeli tiket perlawanan akhir ini,” katanya.

Perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor DT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Shah Alam Sabtu ini. Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan dengan setiap pasukan akan menerima agihan 30,000 tiket dewasa dan 750 kanak-kanak manakala baki 10,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak dijual menerusi dalam talian.

Tiket bagi dewasa berharga RM50 manakala kanak-kanak RM5 termasuk cukai GST dan perlindungan insurans.


PENYOKONG Johor DT mula beratur untuk membeli tiket yang dijual di kaunter Stadium Larkin. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 1:58 PM