Aziman Rosdi dan Rizar Mohd Noor


BAHANG final Piala Malaysia semakin dirasai dengan pelbagai cara dilakukan oleh penyokong untuk menyemarakkan lagi suasana menjelang pertembungan dua pasukan terbaik negara.

Pelajar Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor (KKTJ) juga tidak mahu ketinggalan dengan memasak pulut semangat.

Pulut yang bercorakkan bendera Johor itu adalah sebagai tanda sokongan kepada kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjelang pertemuan dengan Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran KKTJ Naam Parlan berkata, idea untuk memasak pulut itu dicetuskan sendiri oleh pelajar kolej berkenaan yang mengambil kursus pembuatan pastri.

PELAJAR KKTJ Kolej Kemahiran Teknikal Johor, bergambar selepas menyiapkan pulut kesyukuran. FOTO/ZAIN AHMED

“Pihak kolej memang sentiasa menggalakkan pembabitan pelajar terutama membabitkan kemahiran mereka. Kita memilih pulut kerana ia selalu dikaitkan dengan semangat dalam masyarakat tempatan.

“Bagi saya, ini adalah sebagai tanda sokongan dan semangat pelajar kolej ini yang mengharapkan kejayaan Johor DT di final nanti.

“Di sini, kita menjadikan kejayaan kelab ini daripada aspek pengurusan dan kesungguhan sebagai contoh kepada pelajar.

“Pelajar juga ada menyertai pertandingan masakan dan mereka juga perlu perlu ada kesungguhan untuk menang,” katanya.

Naam berkata, mereka mengambil masa selama sehari untuk membuat penyediaan dan memasak pulut semangat itu dengan kos sebanyak RM70.

PELAJAR KKTJ ketika menyiapkan pulut kesyukuran. FOTO/ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 2:02 PM
PELAJAR KKTJ (dari kiri), Siti Aishah Mohd Fauzi , Farra Najieha Aduka Mutmin, dan Nurin Hidayah Abd Halim menunjukkan pulut kesyukuran sempena Johor DT ke final Piala Malaysia 2017 di Kolej Kemahiran Teknikal Johor. FOTO/ZAIN AHMED