RAMOS (kiri) gesa rakan sepasukan bangkit kembali buru kemenangan.
AFP

MADRID: Kapten Real Madrid, Sergio Ramos melaungkan amaran mereka akan bangkit walaupun prestasi pasukan turun mendadak sehingga ketinggalan lapan mata di belakang Barcelona, dalam saingan La Liga, hanya selepas 10 aksi.

Kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam menyusul selepas kekalahan 1-2 kepada pasukan baru dipromosi, Girona.

Ia adalah kali kedua Zinedine Zidane tewas dua kali berturut-turut dalam karier awalnya sebagai pengurus.

“Real Madrid sentiasa bangkit dan meletakkan setiap orang di tempat sepatutnya. Mereka yang menidakkan keupayaan kami akan tahu tempat sebenar mereka,” kata Ramos.

Madrid seharusnya kembali menemui rentak kemenangan apabila Las Palmas bertandang ke Santiago Bernabeu pada Ahad.

Ini kerana, pengendali Las Palmas, Pako Ayestaran bakal kehilangan jawatan selepas empat kekalahan liga berturut-turut sejak dilantik September lalu.


PEMAIN Real perlu kembali susun strategi bagi persiapan menghadapi aksi La Liga.

Bagaimanapun prestasi awal musim hambar Real menimbulkan persoalan mengenai pembelian pemain pada musim panas.

Ketika pesaing Liga Juara-Juara lain membelanjakan ratusan juta, Madrid mencatat keuntungan 75 juta euro (RM370 juta) hasil penjualan Alvaro Morata, James Rodriguez, Pepe dan Danilo.

Real meneruskan polisi mereka sejak beberapa musim lalu dengan mengambil pemain muda terbaik Sepanyol.

Namun, Cristiano Ronaldo berpendapat skuad ketika ini kurang berpengalaman berbanding skuad yang meraih kejuaraan berganda La Liga dan Liga Juara-Juara pertama dalam tempoh 59 tahun, musim lalu.

“Kelompok pemain baharu yang tiba mempunyai potensi besar. Pepe, Morata, James menjadikan kami lebih kuat, tetapi mereka yang ada sekarang lebih muda,” kata Ronaldo.

“Ia bukan skuad yang teruk, ia hanya tidak mempunyai pengalaman yang sama dan itu sesuatu yang amat penting. Ini bukan satu alasan, tetapi tidak ada sebab untuk kami panik.”


ZIDANE (kanan) perlu buru kemenangan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 12:16 PM