ZII Jia mara pusingan suku akhir Terbuka Bitburger. FOTO/AIZUDDIN SAAD
ZII Jia mara pusingan suku akhir Terbuka Bitburger. FOTO/AIZUDDIN SAAD
Fabian Peter


PEMAIN badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia meneruskan langkah cemerlang di Eropah apabila melangkah ke suku akhir badminton Terbuka Bitburger di Jerman, hari ini.

Ketika saingan pusingan ketiga, pemain itu yang baru merangkul gelaran sulung di Siri Antarabangsa Polish, merakam kemenangan 21-17, 21-12 dengan mengejutkan pilihan keenam dari China, Qiao Bin.

Zii Jia, yang dinaikkan taraf ke dalam skuad senior negara pada tahun ini akan berdepan cabaran pilihan ketiga, Brice Leverdez dari Perancis sebelum melangkah ke saingan separuh akhir.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa seorang lagi pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, apabila tunduk kepada seorang lagi pemain China, Huang Yuxiang dalam pertarungan tiga set dengan keputusan 21-17, 15-21, 21-8.

Bagi acara beregu lelaki, dua gandingan baharu, Goh V Shem-Teo Ee Yi serta Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin juga cemerlang melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Di saingan pusingan kedua, V Shem-Ee Yi menyingkirkan beregu China, He Jiting-Tan Qiang, 21-19, 10-21, 21-19, manakala Wee Kiong-Yew Sin menang ke atas wakil Denmark, Mathias Bay Smidt-Frederik Søgaard, 21-18, 21-17.

Selepas hanya beraksi dalam dua kejohanan sejak digandingkan, Wee Kiong-Yew Sin akan menghadapi cabaran satu lagi beregu Denmark di pentas suku akhir, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

V Shem-Ee Yi pula akan menerima cabaran beregu pilihan keempat, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 2:24 PM
Digital NSTP Subscribe