PEMAIN Johor DT, ketika sesi latihan di Padang FAM menjelang aksi final Piala Malaysia 2017. -Foto YAZIT RAZALI
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

SELEPAS tiga tahun menanti, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke pentas final Piala Malaysia 2017.

Mereka dikecewakan oleh Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi 120 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil, terikat 2-2.

Kawan (saya) yakin, ia pasti detik yang ingin dilupakan buat pasukan yang memiliki barisan pemain bintang ini.

Malah, sudah pasti semangat anak buah Ulisses Morais kali ini lebih membara kerana dahagakan gelaran pertama Piala Malaysia sekali gus menjadi penamat lebih manis selepas merangkul Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Biarpun lawan mereka juara bertahan Kedah yang bakal tampil di final buat kali ketiga berturut-turut, skuad Harimau Selatan dibarisi pemain berpengalaman luas beraksi di pentas besar.

Kapten Safiq Rahim pula sudah biasa dalam suasana getir ini untuk memimpin pasukan biarpun Piala Malaysia satu-satunya trofi yang masih belum dijulangnya.

Malah, gandingannya bersama bekas pemain Levante yang baru dinobatkan Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFAM, Natxo Insa kini berada di prestasi terbaik untuk menjadi perancang di bahagian tengah.

Harus diingat, kekuatan JDT bukan hanya terletak kepada ketajaman Mohammed Ghaddar yang sudah meledak enam gol sepanjang kejohanan ini, tetapi kelincahan pemain sayap Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra juga boleh memberi ancaman besar kepada Kedah.

Jangan lupa, Ahmad Hazwan Bakri yang menjadi wira Selangor menewaskan Kedah pada final 2015 juga bersedia pada bila-bila masa untuk diturunkan Morais.

Mungkin ada yang menganggap tanpa tonggak pertahanan tengah Marcos Antonio, benteng mereka akan goyah, tapi lihat apa yang dilakukan oleh Fadhli Shas, Junior Eldstal dan Aidil Zafuan Abd Radzak dalam 12 perlawanan terakhir, tetap ampuh.

Dengan barisan pemain serba lengkap, keghairahan dan semangat untuk mendakap kejuaraan serta taktikal Morais, kawan yakin JDT tidak akan kempunan lagi kali ini. Kawan ramal JDT menang 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 9:28 PM