GUARDIOLA (kanan) anggap Arsenal miliki kelebihan. FOTO/ AFP
AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City tidak menunjukkan tanda kehilangan momentum dengan 15 kemenangan daripada 16 perlawanan semua kejohanan selepas menang 4-2 ke atas Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis lalu.

City tidak pernah tewas dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak April, namun kekalahan hadir ketika perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Arsenal, pasukan yang berkunjung ke Stadium Etihad untuk aksi Liga Perdana malam esok.

Pengurus Pep Guardiola berkata beliau tidak melihat sebarang kemungkinan City mengulangi pencapaian skuad terulung Arsenal ‘The Invicibles’ pada 2003-04 dengan melepasi musim Liga Perdana tanpa merekodkan sebarang kekalahan.

“Kecuali kekalahan di Watford, Arsenal menang banyak perlawanan,” kata Guardiola.

“Ia menyulitkan kami. Kami harap dapat pulih dengan baik selepas perjalanan dan perlawanan di Naples.

GUARDIOLA harap anak buahnya mampu kekal momentum kemenangan. FOTO / AFP

“Sungguh sukar apabila anda perlu mempertimbangkan Liga Juara-Juara.

“Arsenal bermain tanpa skuad utama mereka pada Khamis (peringkat kumpulan Liga Europa menentang Red Star Belgrade), jadi mereka dapat berehat selama seminggu. Kami pula kehilangan tenaga jadi sokongan peminat amat penting.”

City menjaringkan 35 gol dan bolos hanya enam daripada 10 perlawanan setakat ini, menang di Chelsea dan membelasah Liverpool 5-0, membuatkan ramai pengurus tertanya-tanya bagaimana mereka boleh dihalang.

Antara pemain yang menyerlah musim ini adalah Raheem Sterling, pemain sayap yang menjadi idaman Arsenal Ogos lalu dan mungkin dibenarkan meninggalkan kelab itu jika City berjaya membeli Alexis Sanchez.

Turut menjaringkan gol pada perlawanan di Naples adalah Sergio Aguero yang menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman di City dengan 178 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 11:13 AM