Azlan Muhammad Zain


SKUAD lelaki negara akan menentang Thailand di pentas final kejohanan Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Dunia (ISTAF) selepas mengatasi India 2-0 di separuh akhir, di Hyderabad, India, sebentar tadi.

Pasukan Malaysia kendalian Abdul Talib Ahmad tiada masalah mengatasi tuan rumah dalam aksi dua set.

Walaupun berdepan sedikit bergelut pada set pertama, pertukaran memasukkan tekong utama, Mohd Syahir Rosdi (gambar) menggantikan Said Ezwan Said De pada pertengahan set membolehkan regu negara yang turut dibarisi Mohd Farhan Adam (pengumpan) dan Norhafizi Abd Razak (perejam) menang 21-17.

Bersambung set kedua, servis tajam Syahir nyata memberikan kesukaran kepada lawan membolehkan Malaysia menang set kedua 21-8.

Terdahulu regu Thailand yang membariskan gandingan pemain lama dan muka baharu turut mudah mara ke final apabila mengatasi Singapura.

Tanpa kehadiran perejam berbisa, Pornchai Kaokaew dan Anuwat Chaichana, Thailand diketuai tekong berpengalaman, Siriwat Sakha tidak berdepan masalah besar apabila menewaskan Singapura 21-5, 21-8.

Sementara itu, regu wanita negara pula terpaksa akur terlepas peluang ke final walaupun memberikan tentangan sengit kepada Vietnam dalam aksi tiga set.

Vietnam menang set pertama 21-11 sebelum anak buah Fikri Mohd Noor bangkit memenangi set kedua 21-19 namun terpaksa akur 19-21 pada set ketiga sekali gus menyamai pencapaian edisi 2011 ketika ia pertama kali dianjurkan di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 10:33 PM