LIRIDON (tengah) disekat pemain Johor DT. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Firdaus Hashim

ARKITEK tengah pasukan Kedah, Liridon Krasniqi mengakui tidak beraksi seperti kebiasaan apabila gagal menjana enjin pasukan hingga menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Katanya, strategi pasukan Harimau Selatan yang meletakkan hingga dua pemain untuk merantai pergerakannya dengan melakukan terjahan-terjahan keras nyata menganggu rentaknya dalam perlawanan itu.

“Mereka bermain amat agresif hingga menyukarkan saya untuk melakukan gerakan dari tengah padang.

“Sebaliknya, kami terpaksa bermain dengan hantaran jauh ke depan yang mudah dipatahkan pertahanan mereka. Itu saja cara kami untuk memecahkan benteng mereka selepas saya sering diawasi dua pemain Johor DT sepanjang perlawanan.


PENGADIL perlawanan ketika menenangkan Liridon. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

“Berdasarkan persembahan mereka, Johor DT berhak di atas kemenangan ini dan kami akan datang kembali musim depan dengan semangat dan misi baru,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dalam aksi yang disaksikan 80,000 penyokong itu, skuad Helang Merah terpaksa melupakan hajat untuk mengekalkan trofi di bumi negeri jelapang padi itu buat musim kedua berturut-turut apabila jaringan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera sudah cukup untuk meranapkan impian penyokong Hijau Kuning itu.

Segala-galanya bermula seawal minit ketiga, apabila Johor DT dihadiahkan sepakan sudut yang diambil ketua pasukan Safiq Rahim yang tepat menuju kepala Aidil buat mengejutkan juara bertahan itu.

Liridon dan rakan sepasukannya cuba bangkit pada babak kedua namun anak buah Ulisses Morais terus mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua pada minit ke-63 hasil percubaan menarik Cabrera untuk menewaskan Ifwat Akmal Che Kassim buat kali kedua.

“Saya ingin minta maaf kepada semua penyokong Kedah di atas kekalahan ini. Kami sudah berusaha, tapi tuah nyata tidak menyebelahi pasukan musim ini,” kata Liridon.

Gelaran Piala Malaysia itu melengkapkan kabinet trofi Johor DT sejak dijenamakan semula pada 2013 selepas merangkul Liga Super 2014, 2015, 2016, 2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015,2016 dan Piala AFC 2015.


PENYOKONG memberi kata-kata semangat kepada Liridon. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 11:43 AM