FEDERER (kiri) dan Nadal bakal bertemu dalam final impian namun Nadal berdepan masalah kecergasan. -Foto AFP
AFP

LONDON: Pertembungan Rafael Nadal dan Roger Federer diibaratkan sebagai penutup musim 2017 yang amat diimpikan pada Jelajah Dunia ATP Final.

Bagaimanapun, impian itu mungkin tidak kesampaian apabila bintang tenis Sepanyol, Nadal dilaporkan berdepan masalah kecergasan menjelang aksi pembukaan esok.

Dua pemain hebat dunia ini menjadi pilihan di London, selepas masing-masing memenangi dua gelaran Grand Slam dan menduduki ranking dua teratas manakala Novak Djokovic dan Andy Murray pula mengalami masalah kecederaan musim ini.

Saingan dilihat tidak seimbang di antara lapan pemain di O2 Arena namun pemain berusia 20 tahun Alexander Zverev sedia mencabar pemain lebih ternama.

Pemain nombor satu dunia, Nadal yang menjuarai Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) mengakui, dia tidak menjalani latihan 100 peratus menjelang aksi pembukaan menentang David Goffin dari Belgium namun tetap cergas untuk turun ke gelanggang.

“Saya harap (dapat beraksi). Jika saya tidak percaya saya sudah bersedia, saya tidak akan ada di sini,” kata pemain Sepanyol itu yang turut akan berentap dengan Dominic Thiem dan Grigor Dimitrov dalam Kumpulan ‘Pete Sampras’.

Sementara bagi Federer pula, dia kini memburu kejuaraan Final Jelajah ketujuh dan amat teruja untuk kembali ke kejohanan besar penutup musim ini selepas berehat panjang tahun lalu.

“Tahun lalu saya tidak berada di sini jadi saya gembira untuk kembali lagi tahun ini kerana saya terpaksa bermula dari bawah untuk memperbaiki ranking,” kata bintang Switzerland itu yang mencuri tumpuan dengan memenangi Terbuka Australia selepas beberapa bulan tidak beraksi.

Federer yang kini berusia 36 tahun, mengakui semakin cergas selepas mengharungi musim di luar jangkaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 12:54 PM