AFIQ Afify Rizan
AFIQ Afify Rizan
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba paracycling negara, Afiq Afify Rizan gembira selepas penantiannya untuk menyertai Program Podium berhasil apabila namanya tersenarai antara 146 atlet yang melepasi kelayakan untuk menyertai program elit negara itu.

Pelumba yang beraksi dalam kategori tandem dan bergandingan bersama Muhammad Khairul Adha Rasol, memenangi gangsa pecut 200 meter di Kejohanan Paracycling Dunia di Amerika Syarikat Mac lalu selain dua emas Sukan Para ASEAN, September lalu.

“Ia memang sesuatu yang saya nantikan selepas meraih pingat di pentas dunia di AS. Pengorbanan saya berbaloi.

“Banyak kejohanan besar tahun depan, saya yakin dengan penyertaan dalam Program Podium akan memberikan persiapan yang cukup untuk membolehkan saya terus meraih keputusan positif,” ujarnya.

Ditanya mengenai gandingan pelumba pilotnya, Afiq Afify menjelaskan belum ada perbincangan mengenainya namun berharap kekal digandingkan bersama Khairul Adha dan berlatih bersama jurulatih, Johari Nayan.

Katanya, ada banyak kejohanan yang menantinya tahun depan termasuk Kejohanan Paracycling Dunia, Sukan Para Asia dan Komanwel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:26 AM