Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Reuters

BUENOS AIRES: Bekas peguam Argentina yang mengendalikan program televisyen bola sepak kerajaan membunuh diri dengan berlari di depan kereta api di sini, beberapa jam selepas beliau dituduh menerima rasuah oleh mahkamah New York, kata polis.

Jorge Delhon, peguam bagi program Futbol Para Todos (Soccer for All) dikatakan menerima sogokan pada hujung 2011 hingga 2014, menurut saksi yang juga bekas ketua pemasaran syarikat sukan, Torneos y Competencias, Alejandro Burzaco menerusi rekod dalam transkrip mahkamah yang dilihat oleh Reuters.

Pemandu kereta api itu memberitahu polis lelaki yang akhirnya dikenal pasti sebagai Delhon, 50, berlari di landasan di Lanus, di sini, menurut jabatan polis tempatan dalam kenyataan yang dipanggil kematian disebabkan bunuh diri.

Pemandu itu memberikan amaran hon dan cuba untuk membrek tetapi lelaki itu yang berlari ke arahnya, menurut kenyataan itu.

Reuters gagal untuk mendapatkan komen keluarga Delhon atau pandangan pihak berkecuali bagi mengesahkan kematiannya berpunca daripada membunuh diri.

Javier Saldias yang juga bekas peguam Futbol para Todos memberitahu Reuters beliau rakan Delhon dan berkata, temannya itu sebagai “Bapa contoh. Beliau menyayangi keluarganya.”

DELHON bunuh diri selepas dituduh menerima rasuah.
DELHON bunuh diri selepas dituduh menerima rasuah.

Burzaco memberi keterangan perbicaraan membabitkan rasuah terhadap tiga bekas pegawai bola sepak di Amerika Syarikat yang menuduh syarikat media utama membayar rasuah untuk mendapatkan hak televisyen bagi perlawanan bola sepak.

Kenyataannya itu hadir ketika perbicaraan pertama terhadap siasatan rasuah oleh AS membabitkan badan induk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika perbicaraan di mahkamah persekutuan Brooklyn, Burzaco mendakwa sogokan diberikan kepada beberapa pegawai rasmi bola sepak antarabangsa termasuk bekas presiden Persatuan Bolasepak Argentina dan Eksekutif FIFA, Julio Humberto Grondona, yang meninggal dunia pada 2014.

Program Soccer for All yang juga tayangan percuma dicipta oleh bekas presiden Argentina, Cristina Fernandez yang berhasrat membawa siaran perlawanan bola sepak kepada rakyatnya.

Presiden Argentina, Mauricio Macri yang juga bekas pengerusi kelab tempatan, Boca Juniors membuat perjanjian dengan persatuan bola sepak tempatan untuk membatalkan kontrak itu dalam usaha memotong subsidi kerajaan.

Pada Mac lalu, media berpangkalan di AS iaitu Twenty-First Century Fox Inc dan Time Warner Inc memenangi kontrak bersama untuk menyiarkan perlawanan bola sepak di Argentina selama lima tahun bermula musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 11:29 AM