CORAK permainan Dimitrov menyamai Federer.
Reuters

LONDON: Grigor Dimitrov enggan menerima perbandingan dengan Roger Federer beberapa tahun lalu namun menghasilkan permainan tenis yang pasti dikagumi bintang Switzerland itu ketika membenam David Goffin sekali gus layak ke separuh akhir Pusingan Akhir ATP, awal pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu gagal menangani harapan diletakkan di bahunya selepas memenangi kejuaraan remaja Wimbledon pada 2008 dengan corak permainan seakan Federer.

Namun selepas layak ke Pusingan Akhir ATP buat kali pertama sesudah melonjak ke tangga keenam dunia yang juga terbaik dalam kariernya, Dimitrov mula menyerlah di pentas terbesar sukan itu.

Kemenangan 6-0, 6-2 ke atas Goffin dari Belgium di Arena O2 susulan kemenangan sengit tiga set ke atas Dominic Thiem Isnin lalu apabila dia muncul pemain pertama Bulgaria bertanding pada kejohanan elit lapan pemain terbaik dunia itu.

Goffin, seorang lagi pendatang baru, bergelut untuk mengatasi pemain nombor satu dunia Rafael Nadal Isnin lalu, namun tidak berupaya untuk menyekat kehebatan Dimitrov.

Di sebalik kekalahan itu, Goffin akan berdepan Thiem esok bagi merebut tempat ke separuh akhir selepas pemain Austria itu menundukkan Pablo Carreno Busta, yang dipanggil bermain berikutan penarikan diri Nadal, 6-3, 3-6, 6-4.

Dimitrov, yang merangkul kejuaraan sulung Masters 1000 ATP di Cincinnati tahun ini dan layak ke separuh akhir Terbuka Australia, berada di tahap tersendiri.

“Saya hanya terfikir, hanya ada beberapa hari dalam setahun apabila setiap apa yang anda sentuh menjadi emas dan saya fikir ia adalah set pertama,” kata Dimitrov.

“Tapi saya bekerja keras untuk mencapai tahap itu. Apabila ia hadir pada saat itu, ia amat istimewa.

“Pergerakan saya hebat, saya membaca permainan dengan amat bagus dan yakin dengan setiap pukulan saya.

“Perkara seterusnya yang anda sedar perlawanan sudah tamat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 1:15 PM