MUSTAFI (tengah) jaring gol pembukaan buat Arsenal. -Foto EPA
AFP

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata intensiti yang dimiliki pasukannya menjadi faktor penting ketika menewaskan jiran tetangga, Tottenham Hotspur 2-0, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Gol pada babak pertama menerusi Shkodran Mustafi dan Alexis Sanchez di Stadium Emirates itu membolehkan Arsenal merekodkan kemenangan pertama ke atas Tottenham sejak Mac 2014.

Ia adalah kemenangan ke-11 berturut-turut Arsenal di laman sendiri dalam saingan liga dan menyaksikan mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Spurs yang menamatkan saingan musim lalu di depan mereka.

“Mereka menunjukkan kesungguhan dan fokus. Dalam perlawanan tetangga seperti ini, ia adalah perkara penting.

“Kami tidak hilang fokus di bahagian pertahanan sepanjang tempoh 90 minit,” kata Wenger.

Wenger turut memuji aksi yang dipamerkan pemain tengah Jerman, Mesut Ozil yang diberikan tepukan gemuruh pada lewat babak kedua selepas prestasi cemerlangnya dalam perlawanan berkenaan.

“Saya yakin Ozil menambah aspek fizikal dalam corak permainannya, dan apabila dia perlukannya, dia boleh melakukannya.

“Dia mendapat tepukan gemuruh kerana dia membantu bahagian pertahanan. Dia bukan pakar dalam perkara itu tetapi dia boleh melakukannya kerana dia pemain yang bijak,” katanya.

Sementara itu, pengurus Spurs, Mauricio Pochettino tidak berpuas hati dengan sepakan percuma yang diberikan kepada Arsenal, sekali gus membolehkan Mustafi membuka tirai jaringan.

Sepakan percuma itu diberikan selepas Davinson Sanchez mengasari Sanchez, tetapi Pochettino mendakwa ia adalah terjahan yang bersih.

“Kamu dapat lihat apa yang berlaku ketika perlawanan. Saya kecewa kerana perkara remeh menjadikan ia sukar kepada kami untuk menang,” katanya.

Ditanya perkara remeh yang dimaksudkannya, Pochettino berkata: “Sepakan percuma dan saya fikir ia adalah offsaid.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:23 PM