Kane (kiri) gembira dengan pencapaian pasukannya di Liga Juara-Juara. -Foto AFP
AFP

BERLIN: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane kagum pencapaian besar pasukan itu dalam saingan Liga Juara Juara selepas bangkit menewaskan Borussia Dortmund 2-1 .

Spurs mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan H apabila jaringan Kane dan Son Heung-min membolehkan mereka mengutip mata penuh selepas Dortmund mendahului menerusi jaringan Pierre-Emerick Aubameyang pada separuh masa pertama.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Spurs yang sudah pun layak ke peringkat kelompok 16 terbaik mengutip 13 mata dan meletakkan Real Madrid sekadar menjadi naib juara dengan saingan berbaki satu perlawanan lagi.

“Ia keputusan begitu hebat, malam yang sukar dilupakan oleh kami, penyokong dan pasukan apabila muncul juara kumpulan ketika masih ada satu perlawanan lagi,” kata Kane.

“Tiada yang menjangkakan kami untuk menang kerana skar untuk beraksi dan meraih kemenangan di sini tetapi kami dapat melakukannya.”

Sementara itu, pengendali Spurs, Mauricio Pochettino mengakui jaringan Kane yang dihasilkan empat minit selepas separuh masa kedua bersambung menjadi nadi kepada kebangkitan pasukannya itu.

“Jaringan Kane nyata mengubah segalanya. Satu pencapaian yang hebat untuk menjadi juara kumpulan.

“Aksi peringkat kumpulan sudah berakhir buat kami. Saya gembira untuk menjadi juara tetapi kita perlu memandang ke hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 1:42 PM