Kim Swee (berdiri) panggil empat pemain B-19 perkuat persiapan menjelang pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia B-23. -Foto Agensi
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


SEPERTI dijanjikan empat pemain utama daripada skuad bawah 19 tahun negara (B-19) disenaraikan oleh ketua jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee bagi persiapan menjelang pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang dijadualkan berlangsung di China, dari 9 hingga 27 Januari depan.

Kim Swee, 47, yang mengakui tertarik dengan aksi cemerlang skuad kendalian Bojan Hodak ketika kelayakan Kejuaraan AFC B-19 di Paju, Korea Selatan awal bulan ini membayangkan akan menyenaraikan beberapa pemain bagi memantapkan persiapan selain sebagai pelan jangka panjang pasukan.

Empat pemain berkenaan ialah penyerang utama skuad B-19, Hadi Fayyadh Abdul Razak (gambar kecil) (JDT II), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Shivan Pillay Asokan (PKNS FC) dan K Thivandaran (Pulau Pinang) yang bakal digabungkan bersama skuad pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.

Selain daripada itu, tidak banyak perubahan berlaku dalam senarai 30 pemain apabila 17 tonggak yang beraksi di temasya Sukan SEA dikekalkan dengan hanya tiga pemain digugurkan iaitu dua pemain Kedah, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Ariff Farhan Md Isa serta penyerang Pulau Pinang, S Kumaahran yang masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan lutut.

Sementara empat pemain yang berada dalam skuad 23 pemain ketika pusingan kelayakan AFC B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai lalu tetapi digugurkan dalam skuad Sukan SEA disenaraikan semula untuk kem latihan kali ini iaitu penjaga gol Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers) dan Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan).

Turut tersenarai, empat lagi pemain yang pernah dipanggil untuk beberapa kem latihan pusat sebelum ini iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan), Dominic Tan (JDT), Tommy Mawat Bada (PJ Rangers) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).

Tidak ketinggalan bekas penyerang berbisa skuad B-16 negara pada 2014 lalu, R Kogileswaran turut meraih kepercayaan Kim Swee yang percaya pengalaman pemain berusia 19 tahun itu yang hampir membawa Malaysia layak ke Piala Dunia B-17 sebelum tumbang 2-1 kepada Australia di suku akhir Kejuaraan AFC tiga tahun lalu mampu dimanfaatkan kali ini.

Malah, Kim Swee juga mengumumkan perubahan kem latihan skuad negara di Johor Bharu yang ditukarkan ke Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya dengan kesemua pelatih akan melaporkan diri pada Isnin depan.

Selepas tiga minggu latihan, pasukan dijadualkan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat di sana selama 14 hari sehingga 30 Disember dan kemudian terbang terus ke Nanjing, China untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari.

Malaysia dijadualkan menghadapi dua aksi awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan tiga hari kemudian sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 12:37 PM